Masa itu Kehidupan

June 13, 2010

Setelah sekian lama menyepi, akhirnya diberi kekuatan untuk menyambung langkah yang terhenti seketika dek kesibukan kehidupan seharian. Alhamdulilah.

Terimalah secebis peringatan sebagai pemanis mulut pembuka bicara.  Semoga kita semua diberi petunjuk dan kesungguhan untuk mengurus masa dengan sebaiknya.

-Abu Solahuddin-

Advertisements

Pertandingan Menulis Cerpen Islami KRIM

June 13, 2010
Ayuh jangan lepaskan peluang anda untuk menunjukkan bakat penulisan anda dan merebut hadiah yang lumayan.
maklumat terperinci ada di bawah ini atau layari
www.remajaisma.wordpress.com
Selamat BerKARYA !!!

Buku yang MESTI dibaca oleh REMAJA yang ingin BERJAYA

April 25, 2010

Judul : SITI FATIMAH 18A : Watak Remaja Zaman Ini
Penulis : Dinsman
Penerbit : Media Minda Resources Sdn Bhd, Kuala Lumpur 2007

Siti Fatimah Mukhtar. Remaja yang mendapat 17A1 + 1A2 dalam SPM 2006. Dalam ujian pertengahan tahun tingkatan 4, dia mendapat 24A, termasuk subjek Agama dan Bahasa Arab. Anda pun boleh capai kejayaan yang sama. Siti Fatimah mendedahkan semua rahsia kejayaannya melalui buku dan VCD ini. Lebih dari itu – dia watak remaja zaman ini. Aktif kokurikulum, aktif sukan dan menunjukkan bakat kepimpinan yang menyerlah. Sempat pula menghafal al-Quran (sudah 15 juzuk). Dan kehidupan sosialnya cukup menarik. Punya cara sendiri berhibur dan mengatasi stress.

Biodata Siti Fatimah
Nama : Siti Fatimah Mukhtar
Sekolah : SMU Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu
Jawatan : Ketua Pengawas Sekolah
Pencapaian :

  • SPM 2006 – 18 A (17A1 & 1A2)
  • Ujian Pertengahan Tahun Tingkatan 4 – 24 A ( 22A1 & 2A2)

Anugerah :

  • Pelajar Terbaik SPM 2006 Malaysia
  • Biasiswa Khas Skim Pelajar Cemerlang SPM Bank Negara Malaysia
  • Pelajar Mithali Yayasan Islam Kelantan 2006
  • Pelajar Melayu Terbilang GPMS 2007

“ Dan satu je saya berpegang – doa kepada Allah. Kalau kita ikhlas, Allah akan tolong kita walau di mana pun kita berada, insyaAllah.”

“ Niat kita pertamanya memanglah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Dan kita perlu cinta ilmu pengetahuan. Sebab kalau kita cinta, contohnya apa-apa yang kita minat, dan kita buat itu bukan kerana paksaan, kita akan rasa ia adalah satu perkara yang menyeronokkan”

“Saya rasa dengan menghafal al-Quran itu lebih menguatkan ingatan saya”

Saya sudah baca, anda bila lagi…

-Mursyidi Mohammad-


Warkah buat Adik-adik yang dikasihi…

April 14, 2010

SUATU KEJAYAAN ITU BERMULA DENGAN IMPIAN

Adik-adik yang dikasihi,

Kita dilahirkan oleh Allah penuh dengan kehebatan dan kecemerlangan.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian”
[At-Tin, 95:4]

Inilah kita.

Kita adalah apa yg dikatakan oleh hati kecil kita.

Jangan dibentuk sempadan diri sendiri dengan memikirkan bahawa kita tidak boleh cemerlang.

Sesungguhnya kecemerlangan itu adalah hak kita yang telah disediakan oleh Allah.

“Sesungguhnya Allah mengasihi seorang hamba yang apabila melakukan sesuatu kerja, dia melakukan dengan cemerlang [maksud hadis]

Jadi, apakah IMPIAN anda?

The greatest danger for most of us is not that our aim is too high and we miss it, but that is too low and we reach it -michelangelo-

salam perjuangan !!!

-KRIM MELAKA-


Intifadah – Merintis Generasi Solahuddin (Siri 1)

April 13, 2010

Buat anakanda Solahuddin yang dikasihi,
Semoga menjadi insan yang hebat sehebat namamu….
-dari abi dan umi-

Muqaddimah

Palestin adalah negara yang paling malang di dunia kerana Palestin dilupakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Zionis erat bekerjasama dengan Amerika, British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara-negara Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam pula gagal untuk membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya. Sejarah dunia menyaksikan bagaimana regim Zionis telah berjaya mengumumkan negara ‘Israel’ pada 14hb Mei 1948 dan telah mengisytiharkan negara ‘Israel yang merdeka’ secara rasminya pada 15hb Mei 1948 di dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakbah.

Kini 62 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang rejim Zionis sehinggakan lebih daripada 90% daripada tanah Palestin dikuasai Zionis, Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Suasana Umat Islam Hari Ini

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlarutan dalam tempoh yang amat panjang. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Namun umat kini masih tercari-cari jawapan terhadap isu Palestin. Secara umumnya, umat Islam yang berjumlah 1.6 billion dan merupakan satu perempat dari penduduk dunia yang berjumlah 6.5 billion boleh dibahagikan kepada beberapa golongan:

1. Golongan majoriti yang tidak tahu langsung atau hampir tidak tahu mengenai isu Palestin.
2. Golongan yang telah putus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin.
3. Golongan yang meletakkan harapan kepada kuasa-kuasa besar dunia.
4. Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha seperti menantikan kedatangan penyelamat seperti Imam Mahdi dan Nabi Isa dan yang lain-lainnya.
5. Golongan yang meyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi kepada perjuangan generasi sebelumnya.

Intifadah Palestin

Intifadah bermaksud kebangkitan atau ‘uprising’. Manakala Intifadah Palestin merujuk kepada kebangkitan semula rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim ganas Yahudi Zionis ke atas rakyat Palestin. Di antara kesan utama Intifadah ialah hilangnya rasa selamat di kalangan orang-orang Israel yang telah mengakibatkan berkurangnya penghijrahan orang Yahudi ke Palestin, kemerosoton ekonomi mereka, peningkatan jumlah orang Israel yang keluar dari Palestin, berlakunya pengislahan dan penstrukturan semula rakyat Palestin serta meningkatkan keyakinan mereka untuk terus berjuang menentang penjajahan dan kezaliman Zionis.

Kenapa Generasi Solahuddin?

Umat kini berada di dalam kemelut pencarian terhadap jawapan kepada permasalahan perdana umat kini iaitu permasalahan Palestin. Kita meyakini bahawa kebangkitan semula umat adalah jawapan kepada permasalahan yang berlaku di Palestin dan juga kepada umat Islam di negara-negara yang lain di dunia ini. Kemenangan semula ke atas Palestin ini memerlukan kepada pembinaan semula generasi manusia terutamanya di kalangan pemuda seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Solahuddin dan generasinya.

Pembukaan Awal Palestin

Palestin adalah bumi panas yang sentiasa menjadi rebutan di antara tamadun dunia. Ia berada di bawah kekuasaan Kristian Romawi sejak tahun 65SM sehingga 638M (tahun 15 Hijrah). Termasuklah ketika berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah s.a.w dibawa ke Baitul Madis sebelum dimi’rajkan Baginda ke Sidratul Muntaha.

Rasulullah s.a.w sendiri adalah perintis yang telah membina generasi sahabat yang hebat, iaitu generasi awal yang telah memulakan perjuangan untuk membuka Palestin. Di antaranya ialah Baginda telah menghantar para sahabat ke peperangan Mu’tah 630M/8H dan kemudiannya ke Tabuk 631M/9H sebelum menghantar Usamah Bin Zaid ke medan pertempuran di Ubna, berdekatan Palestin. Walaupun Baginda wafat sebelum melihat pembukaan Palestin, namun perjuangan Baginda telah diteruskan oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Palestin akhirnya berjaya dibuka oleh Umar al-Khattab r.a pada tahun ke 15H/638M, di bawah pimpinan Panglima Abu Ubaidah al-Jarrah. Bermula daripada peristiwa tersebut, negara dan rakyat Palestin telah berada di bawah pemerintahan Islam yang adil dan aman untuk tempoh yang sangat panjang seperti yang tercatat di ribuan lembaran sejarah.

Tragedi 1099 M dan Kejatuhan Palestin Oleh Tentera Salib

Tentera Salib (Crusades) ialah kempen ketenteraan yang dilakukan oleh gabungan negara-negara Eropah selama dua abad ke atas umat Islam. Objektif utamanya ialah untuk menguasai Palestin dan negara-negara di sekitarnya daripada umat Islam dan menghalang perkembangan umat Islam daripada terus menguasai dunia antarabangsa.

Sebab-sebab utama serangan Salib ialah:

1. Pihak Salib sangat membenci Islam dan umatnya yang telah menguasai Baitul Maqdis (Jerusalem) dan kawasan-kawasan jajahan Kristian di Asia, Afrika dan Eropah.
2. Konstantinopal berada dalam ancaman penguasaan umat Islam yang semakin hampir untuk menguasainya. Alexius Cornmenus, Maharaja Byzantine yang menguasai Konstantinopal telah memohon bantuan negara-negara Eropah untuk bantuan peperangan menentang umat Islam.
3. Semangat beragama dan keinginan Salib untuk menawan semula Baitul Maqdis daripada umat Islam dengan janji penebusan dosa bagi tentera Salib yang terlibat. Motivasi ini telah ditanam dan disebarkan di gereja-gereja di seluruh Eropah.
4. Kerajaan Fatimiah (berfahaman Syiah) di Mesir mempunyai kecenderungan untuk bekerjasama dengan kerajaan Byzantine, yang telah membantu mereka daripada terus duduk di bawah kerajaan Abbasiyah.

Ketumbukan gabungan tentera Salib ini telah membuat serangan secara berterusan untuk menguasai Baitul Maqdis dan Palestin. Akhirnya mereka berjaya berbuat demikian pada tahun 1099M/492H daripada kerajaan Abbasiyah. Kejayaan mereka diikuti dengan banjir darah umat Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun:

Tentera salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, permerkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, di dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang daripada 70 ribu orang.

Di antara petikan kata-kata para paderi dan rahib Kristian pada ketika itu:

* “Ibuku, sempurnakanlah sembahyangmu… Janganlah menangis… Aku akan korbankan darahku dalam usaha menghancurkan umat yang dilaknat, aku akan memerangi agama Islam… Aku akan berperang dengan sepenuh kekuatanku untuk menghapuskan Al-Quran.”
* “Sesungguhnya tentera Salib adalah khadam Tuhan, mereka memuliakan Tuhan dengan menyembelih hidup-hidup 70,000 orang Islam… Mereka telah memecahkan kepala kanak-kanak Islam dengan menghentakkannya ke dinding, mencampakkan bayi daripada tembok dan bangunan, mereka telah membakar golongan lelaki Islam dengann api dan melapah perut ibu yang mengandung….”

Suasana Umat Pada Ketika itu

1. Umat sedang berpecah belah kerana fanatisme mazhab dan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiyah.
2. Berlaku perpecahan dan penyimpangan Sufisme di kalangan umat Islam.
3. Meluasnya pengaruh golongan Syiah yang menyeleweng dan mereka menduduki jawatan-jawatan penting pemerintahan.
4. Lemahnya semangat jihad dan umat Islam tenggelam dengan kemewahan dunia.


Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib YDP ISMA Cawangan Seremban.
* Beliau juga adalah merupakan Perunding Aman Palestin.
Sumber : Laman web ISMA


KRIM Bangkit Jatidiri Pelajar Vokasional

April 3, 2010

Muar, 27 Mac 2010 – Kelab Remaja ISMA Melaka telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Kursus Kepimpinan di Sekolah Menegah Vokasional Muar bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang. Kursus ini berjaya mengumpulkan seramai 60 orang pemimpin pelajar yang terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas asrama, pengerusi unit beruniform dan kelab.

Usai sesi suai kenal bersama peserta dan barisan fasilitator, saudara Mursyidi B Mohammad, Pengarah KRIM Melaka memulakan slot yang pertama bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin”. Peserta diminta berbincang dalam kumpulan dan membentangkan peranan seorang pemimpin sebelum penceramah berkongsi pengalaman dan tips-tips berguna sebagai pemimpin sekolah.

Slot “Peribadi Pemimpin” pula dimulakan dengan tayangan video tentang lebah dan disusuli dengan pembentangan ciri-ciri lebah yang boleh diaplikasikan sebagai seorang pemimpin. Peserta kelihatan teruja dengan fakta-fakta menarik mengenai lebah, makhluk ciptaan Allah yg unik. Juga diselitkan aktiviti ”Scanner Buruk” untuk memberi penekanan kepada kepentingan komunikasi yang berkesan dalam satu organisasi. Para peserta kelihatan seronok dan terhibur apabila melihat hasil lukisan setiap kumpulan yang rata-ratanya agak berbeza dengan lukisan asal.

Selepas makan tengah hari dan solat zuhur berjemaah, para peserta mengikuti pula aktiviti “Fast & Furious”. Kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kreatif peserta diuji dalam memastikan setiap ahil kumpulan menyentuh bola tennis dan durian dalam masa yang paling pantas. Kemudiannya,peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan dan dilepaskan untuk ke 4 “check point” bagi menyelesaikan tugasan dalam aktiviti “Explorace”. Peserta perlu menggunakan kemahiran menulis karangan dan mengira matematik untuk melepasi check point “Assalamualaikum teacher”. Pelbagai ragam dan gaya ditunjukkan oleh peserta untuk menyelesaikan tugasan terutamanya di check point “Sungai Asid”. Kesemua kumpulan juga terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan tugasan “puzzle” yang amat mencabar di check point yang terakhir. Saudara Nazeri b Kamarudin yang menguruskan aktiviti Explorace kemudiannya membuat rumusan dan berkongsi tips-tips untuk menjadi pemimpin yg berkesan.

KRIM Melaka ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak SMV Muar kerana sudi mengundang kami untuk bersama-sama menjayakan program ini. Jutaan terima kasih juga buat semua yang terlibat dalam program ini. Semoga program ini diberkati oleh Allah s.w.t. dan membantu melahirkan pemimpin yang unggul di masa hadapan. Pemuda hari ini adalah pemimpin hari esok.

Dilaporkan oleh,

Mursyidi Mohammad
Pengarah KRIM Melaka
http://www.krimmelaka.blogspot.com


Lawatan Kerja KRIM Melaka ke Jabatan Pelajaran Melaka dan MARA

March 13, 2010

Bukit Baru, 11 Mac 2010 – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Melaka yang diwakili oleh En Mursyidi B Mohammad, Pengarah KRIM Melaka telah melakukan lawatan kerja ke Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Melaka (JPM). Lawatan kali yang kedua ini disambut mesra oleh En Zulhijri B Sabtu, Penolong Pengarah Kaunseling, Unit Hal Ehwal Murid walaupun dalam kesibukan hari keluarnya keputusan SPM.

En Zulhijri (kiri) bersama Pengarah KRIM Melaka

Pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam ini memberikan peluang kepada pihak KRIM untuk berbincang lebih lanjut berkenaan penganjuran Seminar Kerjaya yang dirancang oleh KRIM memandangkan surat kebenaran daripada Unit Perhubungan dan Pendaftaran, JPM telah pun diterima oleh pihak KRIM. En Zulhijri memberikan komitmen untuk membantu KRIM dalam menjayakan Seminar Kerjaya yang julung-julung kalinya akan diadakan dengan kerjasama JPM.

Lawatan kerja KRIM Melaka diteruskan lagi ke Pejabat MARA Negeri Melaka di Plaza Usahawan, Jalan Hang Tuah. Menyambut kedatangan wakil KRIM ialah Pn Mazliana dan En Jaafar b Hitam, Pegawai Latihan dan Kerjaya, MARA Negeri Melaka. Perbicangan lebih setengah jam ini memberi peluang kepada pengarah KRIM menerangkan tentang Seminar Kerjaya dan mendapatkan kerjasama pihak MARA dalam menganjurkan seminar ini. Pihak MARA berbesar hati untuk menyediakan penceramah untuk mengisi slot penerangan peluang pendidikan dan tajaan oleh MARA serta pameran sepanjang berlangsungnya Seminar Kerjaya tersebut.

KRIM Melaka ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kaseh terhadap pihak JPM dan MARA di atas kesudian mereka meluangkan masa untuk menerima lawatan kerja ini. Semoga lawatan sebegini dapat diadakan lagi bagi mengukuhkan hubungan yang telah sedia terjalin. Semoga pertemuan ini akan dapat membuka ruang kepada KRIM untuk terus berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada pembangunan golongan pelajar Melayu khususnya, di sekolah-sekolah di seluruh negeri Melaka bersejarah.

http://www.ismamelaka.com